KJ PEMUDA BERANI, MUKHRIZ MENANGIS DAN KHIR TOYO TERDUDUK KALI KEDUA?
Arakian, maka menanglah KJ dengan bergayanya merebut jawatan Ketua Pemuda Umno mengalahkan mantan MB Selangor Khir Toyo dan anak kesayangan mantan PM Tun Mahathir iaitu Mukhriz. Sekalung tahniah buat KJ, pertamanya kerana menumbangkan Khir Toyo yang namanya semakin jelek di mata rakyat. Sekarang barulah Khir Toyo sedar siapakah diri beliau untuk menjadi jaguh kononnya di Selangor sedangkan partinya sendiri menolak beliau meskipun telah di`bersih'kan oleh Lembaga Disiplin Umno. Syabas, KJ kerana walaupun nama mu tercalar sedikit oleh gara-gara Lembaga Disiplin Umno, tetapi seteruk mana pun Umno, KJ masih dianggap seorang pemuda yang berani.
Sebenarnya bukan niat saya untuk menyokong KJ menjadi Ketua Pemuda Umno, tetapi niat saya yang lebih utama adalah untuk melihat Khir Toyo jatuh terduduk untuk kali keduanya. Kali pertama Khir Toyo terlentang selepas Pilihanraya Umu ke 12 di mana sebuah negeri terkaya kini menjadi milik PR. Setelah jatuh, Khir Toyo cuba untuk bangun dengan mencipta berbagai isu bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Seri Khalid tetapi akhirnya beliau sendiri terlondeh. Sehingga kini, kerajaan negeri Selangor sedang giat `melondehkan satu demi satu pakaian' Khir Toyo. Khir Toyo kini sudah menjadi seperti wayang kulit yang dipertontonkan oleh kerajaan PR di Selangor untuk tatapan seluruh masyarakat dan kadang kala kita tertawa dengan persembahannya. Beliau cuba untuk naik kembali dengan menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda Umno. Sekali lagi untuk kali kedua, Khir Toyo terlentang dan terduduk bukan disebabkan oleh pembangkang, tetapi oleh majoriti perwakilan Pemuda Umno sendiri. Syabas untuk KJ.
Kekalahan Mukhriz anak kepada tokoh yang terlibat dalam konspirasi menjatuhkan DS Anwar dalam Umno, beliau sememangnya patut kalah walaupun tiada siapa yang menjatuhkannya secara konspirasi sepertimana ayahanda beliau pernah lakukan pada DS Anwar. Beliau kalah secara `anak jantan' kepada KJ yang juga menang secara `lebih jantan'. Slogan `Berani Berubah' yang dibawa oleh Mukhriz kini lebih sesuai ditukar kepada `Berani Kalah'. Sememangnya beliau berani kalah walaupun diberitakan beliau menangis ketika mendapat tahu beliau tewas. Benar atau tidak berita itu saya tidak tahu, tetapi sejarah pernah memperlihatkan betapa ayahandanya juga menangis teresak-esak di atas pentas di PWTC ketika mengumumkan untuk `bersara' dari menjadi Presiden Umno. Jika benar Mukhriz juga menangis, maka tiada salahnya kerana `kuah akan tumpah ke nasi' jua.
Walau sekuat mana pun jeritan penyokong-penyokong Khir Toyo dan Mukhriz mengatakan KJ menang kerana rasuah, yang nyata KJ tetap menang. Jangan salahkan KJ jika beliau dianggap merasuah untuk menang, tetapi salahkan perwakilan yang mungkin terlalu `lapar' ketika itu. Pada saya, KJ tidak mungkin melakukan rasuah untuk menang kerana sememangnya beliau layak untuk menang jika dibandingkan dengan Khir Toyo dan Mukhriz. KJ wajar berterima kasih kepada penganjur program Wacana Politik di Kelantan baru-baru ini yang memberi peluang kepada beliau menunjukkan keberaniannya berdebat dengan YB Husam Musa. Tidak dapat dinafikan program tersebut telah menyumbangkan bonus buat KJ. Berlainan dengan Khir Toyo yang cuba mendapatkan bonus dengan mencari berbagai isu di Selangor untuk menunjukkan beliau kononnya pejuang rakyat di Selangor dan berani mendedahkan penyelewengan kerajaan PR di Selangor. Malangnya, semua isu tersebut memakan diri bahkan ahli-ahli Umno sendiri tidak percaya dan mentertawakan beliau. Ternyata isu lembu yang dibawa oleh Khir Toyo seolah-olah menjadikan beliau kini seperti makhluk berkaki empat itu juga.
Selepas ini, tugas utama KJ adalah berdepan dengan rakyat di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Ketika itu, KJ jangan tersalah langkah seperti apa yang telah beliau lakukan di Permatang Pauh. Rakyat di Perak bukannya seperti perwakilan Pemuda Umno yang seronok melihat keris ditatang, dihunus dan dicium. Apalah ertinya keris `telanjang' tanpa sarung itu pada rakyat Perak. KJ juga kena pastikan sebelum melangkah ke bumi Bukit Gantang, tentukan beliau `mandi bunga' terlebih dahulu untuk menghilangkan `badi' beliau bila berdepan dengan PR di sana. Jika perlu untuk membawa Raja Sesumpah Ezam, pelawalah Ezam untuk `mandi bunga' bersama-sama. Rakyat di Bukit Gantang bersedia menanti dan menyambut Ketua Pemuda Umno yang baru ditabalkan ini.
Kepada mereka yang tewas, Khir Toyo dan Mukhriz saya amat simpati dengan kedua-duanya. Sekarang anda berdua tentu boleh berfikir mengapa orang yang disabitkan bersalah dalam politik wang boleh menang di dalam pemilihan Umno sedangkan kamu yang dikatakan bersih boleh tewas? Jika begitu, maksudnya Umno masih belum berubah dari tabiat lamanya. Apakah tabiat lama Umno itu? Mungkin KJ dan Ali Rustam lebih arif untuk menjawabnya untuk kamu ketahui.
1 comments:
Ayuh pemuda berani...bangkit perangi berubah ,
Ayuh pemuda berani berubah ... berubah dari budaya merasuah kepada budaya khidmat kerana Allah ,
Ayuh semua pemuda setiakawan ... mahu setiakah kita berkawan dengan golongan perasuah yang menempa nama di pintu neraka?
Post a Comment